KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) antara golongan rentan yang diberi keutamaan apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 dijalankan April nanti.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ia berikutan golongan itu, terutama warga emas lebih berisiko tinggi kerana tahap kesihatan rendah berbanding mereka yang muda dan sihat.
Menurutnya, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 dalam kalangan golongan itu akan memberi mereka peluang menjalani kehidupan seperti biasa.
“Kita tengok mereka yang dijangkiti Covid-19 ini berbeza-beza antara satu sama lain.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga warga emas dan OKU, sudah pasti saya perlu memastikan mereka mendapat keutamaan itu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas melawat di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, di Kampung Pulau Meranti, di Sepang hari ini.
Ditanya mengenai cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan Unit Bergerak dalam memastikan golongan rentan termasuk OKU dan warga emas terlantar tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Rina berkata, inisiatif itu akan lebih memudahkan dan perkara itu turut dibangkitkan pihaknya dalam mesyuarat Kabinet.
Rina berkata, seramai 68,003 kumpulan sasar kementerian itu terdiri 48,564 warga emas dan 19,439 OKU yang berdaftar akan diberi suntikan vaksin Covid-19 dalam Fasa 2 kelak.
Beliau berkata, 48,564 warga emas itu adalah ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan penghuni institusi seliaan kementerian berkenaan manakala sejumlah 19,439 OKU pula, terdiri pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
-Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/16/empat-calon-vaksin-covid-19-dalam-proses-kelulusan-npra/

