Malaysiakini berjaya kumpul sumbangan RM500,000 dalam tempoh 4 jam

0
1

HANYA dalam masa empat jam, portal berita Malaysiakini berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai bagi membayar denda yang dikenakan atas kesalahan menghina mahkamah, hari ini.

Portal berkenaan melalui ciapan di Twitternya memaklumkan tabung mengumpul dana bagi membayar denda sebanyak RM500,000 itu kini ditutup selepas kutipan sudah melebihi daripada jumlah yang diperlukan.

“Kami sudah berjaya mengumpulkan lebih RM505,000 dalam tempoh empat jam tabung sumbangan itu dilancarkan.

“Maklumat lanjut mengenai lebih an sumbangan yang diperoleh akan kami maklumkan kemudian,” ciapan di Twitter @malaysiakini.

Portal berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu mengumpulkan dana berkenaan.

“Terima kasih semua, daripada kami di Malaysiakini,” katanya.

Difahamkan, sehingga ia ditutup, lebih RM528,000 berjaya dikumpulkan melalui tabung pembelaan media itu.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dilaporkan menjatuhi hukuman denda RM500,000 terhadap portal Malaysiakini atas pertuduhan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.

Dalam keputusan majoriti 6-1, hakim mendapati Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembacanya.

Susulan itu, portal berkenaan merayu orang ramai untuk membantu mereka mengumpulkan RM500,000 bagi membayar denda berkenaan yang diarahkan dibayar selewat-lewatnya 24 Februari ini.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/19/malaysiakini-rayu-bantuan-orang-ramai/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here