SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat di dera di sebuah pangsapuri di Semenyih, Kajang, semalam.
Kejadian dilaporkan oleh petugas Jabatan Kecemasan Hospital Kajang pada jam 1.20 tengah hari yang menghubungi polis berhubung kematian mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, petugas terbabit memberitahu mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya.
“Pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.
“Siasatan awal polis, kejadian dera itu disyaki berlaku di sebuah pangsapuri di Semenyih, yang mana kanak-kanak itu dipercayai dipukul teman lelaki ibu mangsa sehingga tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Mohd Zaid berkata, susulan itu, polis menahan ibu mangsa berusia 31 tahun yang tidak bekerja dan suspek lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta pada 5.45 petang semalam.
“Kedua-dua mereka direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Faizal Amir di talian 011-33319871,” katanya. -Malaysiapost

