Tun Faisal ‘diheret’ ke Lembaga Displin Umno

0
1
KUALA LUMPUR 26 NOVEMBER 2017. Felo, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz (kiri), ketika Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC) anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz diminta mengemukakan surat tunjuk sebab serta diarahkan hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin Umno.

Ia susulan tindakannya yang membuat kenyataan terbuka menentang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain perlu menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya. 

Beliau memaklumkan, surat panggilan menghadiri tribunal itu ditetapkan pada 25 Februari ini yang diterima melalui panggilan telefon dan WhatsApp pagi tadi daripada Sekretariat Lembaga Disiplin Umno. 

“Saya baru baca tuduhan yang dibuat dan akan menjawab segala tuduhan itu melalui surat jawapan balas serta akan hadir ke tribunal itu pada Khamis depan.

“Saya sudah jangkakan perkara ini kerana telah mendengar cakap-cakap dua minggu lepas,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, beliau maklum ada pihak yang membuat aduan itu dari salah sebuah Bahagian Umno melalui satu perjumpaan supaya perkara itu diangkat ke Lembaga Disiplin Umno.

“Saya akan jawab surat itu dalam masa terdekat dan akan hadir tribunal itu sebagaimana diarahkan,” katanya.

Sebelum ini, Tun Faisal membuat kenyataan bahawa Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa Umno menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.

Tindakan Ahmad Zahid itu dikatakan membelakangi dasar parti iaitu ‘no Anwar no DAP’ tetapi timbul isu ‘surat’ dan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama DAP dan Anwar. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here