Kumpulan penggodam ‘Anonymous Malaysia’ diberkas

0
2

POLIS menahan kumpulan  yang dipercayai terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan dalam beberapa serbuan berasingan di seluruh negara sejak seminggu lalu. 

Tangkapan membabitkan 11 lelaki berusia 22 hingga 40 tahun melalui tujuh serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman. 

Serbuan dijalankan di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang selepas melakukan risikan dan intipan. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati ada antara yang ditahan adalah pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.

“Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini enam laporan polis diterima di seluruh negara.

“Pada masa ini, pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam hari ini yang turut disertai Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Acryl Sani berkata, kesemua suspek yang ditahan disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.

Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.

Pada 26 Januari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Amaran itu susulan ancaman yang diterima melalui penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘Anonymous Malaysia’ di platform media sosial. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/penggodam-anonymous-malaysia-dakwa-lancarkan-serangan-siber/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here