Permohonan i-Sinar diluluskan 8 Mac ini

0
1

SEMUA ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia bawah 55 tahun dan sudah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac ini.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan itu termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh terbabit tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari lalu membabitkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

“Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal seperti sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Katanya, ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM25,000.

“Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1, namun pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000 dengan pembayaran dibuat berperingkat selama enam bulan dengan bayaran pertama RM10,000,” katanya.

KWSP berkata, pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lalu akan dihentikan.

“KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan untuk menangguhkan sehingga i-Sinar yang dikemaskini dilancarkan pada 8 Mac bagi memendekkan masa proses permohonan dan mempercepatkan pembayaran i-Sinar,” katanya.

KWSP turut memaklumkan sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion sudah dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada Disember lalu, memanfaatkan 3.3 juta ahli.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848 atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 dan melayari laman web www.kwsp.gov.my untuk pertanyaan umum. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here