Gagal dapat wang: Penyamun sumbat mulut bayi, sorok dalam tong

0
2
grafik

DUA penyamun bertindak menyumbat mulut bayi dengan tuala dan dipelekat sebelum disorokkan dalam tong putih selepas berang kerana gagal mendapatkan wang daripada ibu mangsa.

Suspek dikatakan berang kerana gagal mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 daripada ibu bayi itu dalam satu kejadian samun di sebuah rumah flat di Jalan Van Praagh, Jelutong, Pulau Pinang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu, mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun didatangi dua suspek berkenaan ke rumahnya pada jam 10.30 pagi.

Katanya, mereka turut memperkenalkan diri sebagai pekerja dari syarikat penghantaran yang membuat penghantaran kotak.

“Selepas mangsa membuka pintu, seorang daripada suspek mengeluarkan pisau dan meminta supaya wanita terbabit tidak menjerit.

“Rantai emas milik mangsa bernilai RM1,200 di dalam rumah berkenaan juga diambil suspek sebelum kedua-duanya meminta wang berjumlah RM50,000,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut Soffian berkata, berang dengan mangsa yang gagal menyediakan wang sebanyak itu, dua suspek menyembunyikan bayi lelaki mangsa ke dalam tong putih di rumah berkenaan.

Manakala seorang lagi anak perempuan mangsa berusia tiga tahun tidak diapa-apakan suspek.

“Suspek kemudian beredar. Ketika kejadian, suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Batu Kawan sebagai pengurus tapak projek,” katanya lagi.

Menurut Soffian, polis sedang meneruskan siasatan dan giat mengesan kedua-dua suspek itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat di talian 04-2825922 sambungan 228,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here