POLIS memanggil bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin untuk dirakam keterangan hari ini, berhubung isu video kononnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata Anina diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
“Saya sahkan Anina dipanggil dan direkod percakapan hari ini.
“Bekas Ketua Srikandi Bersatu itu hadir bagi membantu siasatan isu majlis makan membabitkan Ismail Sabri (didakwa melanggar SOP PKP) yang tular di media sosial,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Pada 13 Februari lalu, Setiausaha Akhbar Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, Azlina Md Rosdy membuat laporan di IPD Dang Wangi, di sini, berhubung penyebaran video lama memfitnah menteri itu melanggar SOP PKP.
Video pendek pertama tular kononnya cuba menunjukkan ia adalah sidang media terbaru yang menyatakan tiada lagi saman dan kompaun akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.
Video kedua tular dan diberi tajuk ‘sendiri buat SOP sendiri langgar’ sebenarnya adalah rakaman di mana Ismail Sabri hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 September tahun lalu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/12/02/ismail-sabri-sahkan-buat-laporan-polis/
