9 wakil rakyat boikot mesyuarat JaKoWIP esok

0
1

SEMBILAN Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat keputusan memboikot mesyuarat Jawatankuasa Konsultasi Wilayah Persekutuan (JaKoWIP) yang dijadualkan esok.

Kesemua Ahli Parlimen terbabit membuat keputusan itu susulan gesaan mereka untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum penubuhan jawatankuasa itu tidak diendahkan.

Keputusan itu dimaklumkan oleh mereka melalui satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada 7 Disember tahun lalu, mereka telah menulis surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan dengan maklum balas terhadap cadangan penubuhan JaKoWIP.

“Terdapat beberapa perkara dasar yang tidak dapat kami terima termasuk isu terma rujukan, ahli mesyuarat serta aturan mesyuarat.

“Kami telah memohon agar perkara-perkara yang dibangkitkan ini dipinda, dan satu pertemuan khusus di antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan segera.

“Malangnya, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan dalam surat bertarikh 24 Disember 2020 hanya menyatakan bahawa syor-syor kami sedang diperhalusi, dan tiada pertemuan khusus yang akan disegerakan seperti yang diminta,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, Ahli-Ahli Parlimen berkenaan membuat keputusan untuk tidak hadir mesyuarat JaKoWIP esok atas sebab Menteri Wilayah Persekutuan enggan mengadakan mesyuarat khusus untuk bertemu semua Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak beliau dilantik pada Mac 2020.

Sebab lain adalah berhubung perkara-perkara asas yang dibangkitkan dalam surat terdahulu belum dijawab, atau pindaan yang diminta belum dilakukan, termasuk penyertaan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sebagai ahli mesyuarat memandangkan mereka adalah lantikan politik yang tiada mandat rakyat Kuala Lumpur.

“Menteri Wilayah Persekutuan perlu sedar bahawa warga Kuala Lumpur telah membuat pilihan yang sangat jelas pada Pilihanraya Umum ke-14 dengan memilih kami sebagai Ahli-Ahli Parlimen mewakili suara mereka.

“Oleh itu, beliau perlu menghormati mandat tersebut dan segera mengadakan mesyuarat khusus bersama kami untuk meneliti serta menyelesaikan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen yang membuat keputusan tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan adalah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Selain itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here