‘Pendidikan mesti jadi zon bebas politik’ – Pemuda Umno

0
2

PENDIDIKAN perlu menjadi zon bebas parti dan melangkaui ideologi politik demi masa depan pewaris negara akan datang, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan pandangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menolak penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan (MTPK) yang dicadangkan Dr Maszlee Malik.

“Bagi Pemuda Umno cadangan untuk menubuhkan MTPK yang melibatkan parti-parti politik hanya menambah kekalutan dan haru-biru sistem pendidikan negara.

“Apa yang lebih utama agar Kementerian Pendidikan memperkasakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, ia termasuk menampilkan tokoh pendidikan, ahli akademik, bekas guru cemerlang yang boleh digemblengkan untuk memikir dan mengkaji pendekatan dan model terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan serta mengangkat martabat pendidikan negara terutamanya dalam era pandemik kini.

“Pemuda Umno berpendirian tidak perlu keterlibatan orang politik jauh sekali parti-parti politik yang hanya akan mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan.

“Biarlah pendidikan menjadi zon bebas parti dan melangkaui ideologi politik demi masa depan pewaris negara akan datang.

“Apakah anda berkongsi pandangan sama dan bersetuju dengan pendirian ini?,” soalnya dalam hantaran sama.

Baru-baru ini, Maszlee mencadangkan Kementerian Pendidikan menubuhkan MTPK dianggotai pemegang taruh berpengalaman dan pakar yang prihatin serta peka terhadap pendidikan pasca-pandemik Covid-19 yang begitu serius ketika ini.

Ketika mencadangkan penubuhan majlis itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, ia perlu dianggotai wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here