KKM saring Covid-19 guna air liur

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memulakan ujian Covid-19 menggunakan persampelan air liur di beberapa hospital kerajaan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata berdasarkan penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), kaedah itu mempunyai sensitiviti 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

“Selain itu, kaedah persampelan itu selamat dan tidak invasif berbanding persampelan dengan kaedah ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’ swab iaitu melalui hidung dan mulut.

“KKM telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada IMR untuk gunakan kaedah persampelan guna air liur ini di fasiliti kesihatan iaitu hospital kerajaan terlebih dahulu.

“Persampelan COVID-19 melalui air liur ini juga akan mempercepat dan meningkatkan saringan COVID-19,” katanya hari ini.

Dr Adham berkata, kaedah persampelan menggunakan air liur itu bersifat “self-collected” iaitu dikumpul sendiri dan dijangka menjimatkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Pesakit akan diminta mengeluarkan sendiri air liur ke dalam cawan spesimen dan cawan itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji,” katanya.

Dr Adham berkata, kaedah persampelan menggunakan air liur itu sesuai bagi ujian ‘Real-Time Reverse Transcriptase-PCR’ (RT-PCR) Covid-19.

“Sekarang, IMR melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK antigen (RTK Ag),” katanya sambil menambah persampelan melalui hidung dan mulut masih lagi digunakan untuk mengesan Covid-19.

Beliau berkata persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur telah dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan menjadi antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here