AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Razlan Rafii merayu kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk bertimbang rasa terhadap larangan golongan penjaja jalanan untuk mencari rezeki.
Menurut Razlan, rakyat semakin tertekan dan ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat wabak pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.
“Dalam masa rakyat tengah sukar mencari rezeki dan ramai hilang punca pendapatan, saya merayu kepada pihak polis untuk melonggarkan syarat ini. Tunggulah setelah selesai covid 19 baru membuat operasi ini.
“780,000 rakyat hilang pekerjaan, buatlah operasi selepas negara melepasi masa-masa sukar ini,” katanya di Facebook, hari ini.
Razlan berkata demikian susulan tindakan Polis menjalankan operasi membenteras penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi tumpuan negara baru-baru ini.
Justeru, Razlan berharap Menteri Dalam Negeri dapat campur tangan dan memberi perhatian serius untuk memberi kelonggaran membenarkan penjaja jalanan mencari sesuap nasi demi kelangsungan hidup mereka.
“Bukan kita menghalang, namun, bertimbang rasa lah sedikit.
“Perlu faham dan dengar denyut nadi rakyat, barangan ini dirampas, jumlahnya mungkin RM300 namun peniaga ini selalu meletakan deposit untuk membeli bekalan barangan ini.
“Mereka bekerja untuk mendapat wang saku, nak memulakan semua peniagaan ini, amat sukar kerana tidak ada duit. Kamu rampas. Jangan bertindak terlalu kejam,” katanya.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/08/polis-saman-penjaja-di-lampu-isyarat/

