KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan berita yang tular di media sosial mengenai borang persetujuan suntikan vaksin, bukan borang persetujuan muktamad yang akan digunapakai dalam pemberian suntikan vaksin.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian suntikan vaksin adalah untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 serta mengurangkan kesan seseorang mendapat penyakit tersebut.
“Memandangkan pemberian suntikan vaksin adalah secara sukarela, maka borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati.
“Borang persetujuan juga digunakan di negara-negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi Covid-19. Penerimaan vaksin ini adalah secara opt-in di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin perlu menandatangani borang ini.
“Kandungan di dalam borang persetujuan ini adalah untuk memastikan penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang telah dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham juga menjelaskan semua vaksin yang akan memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu daripada segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Katanya, selain itu, melalui pelaporan yang diperoleh dari negara-negara yang telah melaksanakan pemberian vaksin Covid-19, ia selamat digunakan.
“KKM ingin memaklumkan bahawa borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.
“Sehubungan dengan itu, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya.-Malaysiapost

