27 cawangan Mydin sedia jadi pusat vaksin

0
2

SEBANYAK 27 pasar raya besar Mydin di seluruh negara sedia menjadi pusat vaksin Covid-19 bagi memastikan masyarakat mempunyai akses dan mudah untuk mendapatkan vaksin terbabit.

Menerusi kenyataan, Mydin Mohamed Holdings Berhad menawarkan rangkaian cawangannya sebagai pusat vaksin dan bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenalpasti lokasi yang bersesuaian sebagai pusat vaksin terbabit.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata ia juga adalah sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin.

“Kita dapat melihat pengorbanan petugas barisan hadapan yang gigih dan tidak kenal erti putus asa dalam memastikan pandemik ini dapat ditamatkan segera.

“Justeru, MYDIN terbuka bagi sebarang perbincangan dengan KKM bagi tawaran ini jika dirasakan ia bersesuaian dan mendapat persetujuan pihak bertanggungjawab,” katanya hari ini.

Beliau juga berkata, Mydin mempunyai 27 pasar raya besar di seluruh negara dengan kawasan yang agak luas bagi memastikan keselesaan bakal penerima vaksin terbabit.

Katanya, Mydin juga berharap rakyat dan pekerja asing memberi kerjasama kepada semua petugas kesihatan dengan mengambil vaksin percuma ini apabila diminta berbuat demikian.

“Bersama kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan berdoa supaya Malaysia dapat menjadi antara negara bebas COVID-19 selepas pelaksanaan program vaksinasi bermula hujung bulan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here