RM168.26 juta nilai dadah dirampas dalam sebulan

0
1

SEBANYAK RM168.26 juta nilai dadah dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang Januari lalu dengan 22 sindiket dadah di seluruh negara berjaya ditumpaskan.

Pengarahnya, Datuk Razarudin Husain berkata dalam tempoh itu juga 9,323 individu termasuk 28 penjawat awam ditahan pihaknya atas pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana JSJN menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM26.10 juta.

“Antara kejayaan terbesar ialah penahanan tiga lelaki di Kepong dan Seri Kembangan serta merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM4.3 juta pada 9 Januari.

“Keesokannya, JSJN Johor membongkar stor penyimpanan dadah dan menahan enam lelaki serta enam wanita di sekitar Johor Bahru. Pelbagai dadah dirampas iaitu pil erimin 5, syabu ekstasi dan ganja membabitkan nilai sitaan RM4.1 juta.

“Pada 11 Januari, JSJN Johor sekali lagi melakukan serbuan di dua lokasi di Johor Bahru dan merampas dadah bernilai lebih RM85 juta dan tiga hari kemudian, JSJN Bukit Aman menahan seorang lelaki dan merampas ketamin serta heroin bernilai RM11 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata terbaharu pada 1 Februari lalu, JSJN melancarkan operasi khas ke atas sindiket pengedaran dadah membabitkan tujuh serbuan di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Katanya, dalam operasi itu sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Kemboja, dua wanita dan seorang kanak-kanak ditahan susulan penemuan 399.48 kilogram ganja serta 770 kilogram ketum bernilai RM1,006,400.

“JSJN akan sentiasa proaktif dalam menjalankan pemantauan sindiket pengedaran dadah agar tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita akan menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/09/2-lelaki-cabut-lari-ke-thailand-tinggalkan-dadah-rm16-1-juta/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here