EMPAT rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lorong Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan sejak kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata dua rumah runtuh semalam manakala dua lagi malam tadi.
Katanya, dua lagi rumah berisiko runtuh dengan sebahagiannya sudah roboh.
“Sehingga kini, pergerakan tanah masih aktif dan banyak retakan baharu kelihatan di lokasi kejadian.

“Kita mendapati runtuhan terbaharu membabitkan kelebaran lebih tiga meter dari runtuhan semalam.
“Sehubungan itu, 98 penduduk membabitkan 48 keluarga sudah berpindah. Sebahagian besar mereka berpindah ke rumah keluarga manakala tiga keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta kerajaan negeri mengeluarkan arahan untuk menghentikan aktiviti mengorek pasir di dalam Sungai Kelantan.
Beliau tidak menolak kemungkinan aktiviti mengorek dan menyedut pasir di dalam sungai menyumbang kepada kejadian itu.
“Saya minta supaya kerajaan pusat dan negeri bekerjasama untuk membuat post mortem tetapi buat masa sekarang semua aktiviti menggali dan mengambil pasir sungai ini dapat dihentikan.
“Kita tidak mahu perkara ini berulang kerana kita lihat jajaran melibatkan DUN Chetok sehingga ke Tumpat, kalau aktiviti diteruskan bimbang berlaku runtuhan dalam dua atau tiga hari,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 50 penduduk di Kampung Jalan Pohon Celagi dipindahkan selepas berlaku tebing runtuh sepanjang 200 meter awal pagi semalam.
Runtuhan berlaku bermula jam 2.30 sehingga 6.30 pagi itu disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan. – Malaysiapost

