
TUN Dr Mahathir Mohamad boleh kembali kepada Umno jika parti itu berpegang semula kepada dasar awalnya.
Bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno selama 22 tahun itu juga mengakui masih menyayangi parti itu.
“Ya.. Sayang kepada parti (Umno)… Tapi tidak sayang kepada pemimpinnya.
“Kalau Umno pegang balik kepada dasar awalnya, berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama, saya boleh kembali kepada Umno.
“Tetapi ‘penyangak-penyangak’ semua, minta maaflah saya tidak boleh kerjasama dengan mereka,” katanya pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar anjuran Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada masih ada perasaan sayang kepada parti Umno yang beliau pernah menjadi Presidennya selama 22 tahun.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, beliau sudah mengambil keputusan untuk berehat daripada politik selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003.
“Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap akan dapat berehat, mungkin enjoy life sikit pergi jalan sana sini, tetapi selepas seminggu saya letak jawatan (ada) orang datang minta (tolong).
“Jadi, mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit), tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.
Menurutnya, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno supaya mudah untuk menegur salah laku kerajaan.
“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (UMNO) dan menentang kerajaan (UMNO ketika itu),” katanya. – Malaysiapost
