Pendidikan tidak sepatutnya membebankan – Zahid

0
1
PUTRAJAYA 26 March 2015. Temubual eksklusif bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya di Kementerian Dalan Negeri, Putrajaya. (Eksklusif BH). NSTP/ Sairien Nafis.

KERAJAAN digesa memandang serius berhubung kesempitan hidup dialami rakyat hingga tahap ada yang dikatakan terpaksa meminjam duit dengan ceti haram atau along untuk membeli komputer riba bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika tidak ditangani masalah itu akan memudaratkan dan menimbulkan masalah lebih besar selepas ini. 

“Sakit hati dengar berita radio pagi tadi, ada ibu bapa meminjam ‘ah long’ untuk beli komputer riba bagi tujuan PdPR.

“Sakit hati bukan disebabkan perbuatan ibu bapa terbabit. Kita simpati dengan keadaan mereka. Yang buat sakit hati mengapa situasi ini boleh terjadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Menurutnya, jika melibatkan pinjaman lintah darat untuk hal perniagaan dari dulu kerap didengari dan permasalahan itu hingga kini berusaha ditangani dari semasa ke semasa.

“Tetapi, ini melibatkan perkara paling asas iaitu pendidikan. Pendidikan yang tidak sepatutnya menyusahkan kini seolah-olah satu beban kewangan besar kepada ibu bapa.

“Lebih menyakitkan hati selepas pelbagai pengumuman demi pengumuman mengenai bantuan untuk rakyat dibuat, tetapi permasalahan `sebasic’ ini yang berlaku,” katanya. 

Beliau mempersoalkan sama ada pihak bertanggungjawab terlepas pandang mengenai nasib keluarga sedemikian atau bantuan yang banyak diumumkan sekadar fatamorgana. 

“Saya cuba meletakkan diri berada dalam situasi sukar ibu bapa berkenaan. Mungkinkah mereka kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji ketika ekonomi tenat?

“Atau mungkinkah ibu bapa terbabit memiliki ramai anak yang bersekolah? Mahu tidak mahu ibu bapa ini perlu juga menyediakan tambahan gajet.

Dalam situasi sukar dan kekurangan wang, ibu bapa terbabit meminjam daripada ah long, sedangkan mereka tahu kesannya amat besar,” katanya. 

Menurutnya, meminjam dalam jumlah yang kecil, tetapi berdepan dengan kadar faedah bulanan yang tinggi, akhirnya akan menjerat diri dalam kancah yang membahayakan.

“Saya seru pihak berkuasa memandang serius perkara ini. Kita bimbang masalah ini akan memudaratkan dan menimbulkan masalah yang lebih besar selepas ini.

“Bukan hanya ekonomi dan negara perlu diselamatkan, bahkan rakyat juga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here