Muhyiddin, kerajaan mohon batal saman pemula Khairuddin

0
1

PERMOHONAN pembatalan saman difailkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia hari ini, terhadap saman pemula bekas penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. 

Muhyiddin dan kerajaan sebagai defendan pertama dan kedua memfailkan permohonan pembatalan itu menerusi Peguam Persekutuan atas alasan tuntutan saman tersebut mengaibkan, remeh, menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Saman itu difailkan Khairuddin pada 18 Januari lalu bagi mencabar tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19. 

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa menerusi afidavit sokongan difailkan bersama permohonan itu berkata, tiada sebarang bukti dalam permohonan Khairuddin, selaku plaintif mahupun afidavit sokongannya yang menyokong penegasan plaintif bahawa Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Abdul Razak, plaintif juga gagal mengenal pasti hak umum dan hak persendirian atau kepentingan undang-undang plaintif yang telah dinafikan lanjutan daripada nasihat defendan pertama itu atau kerugian dialami secara peribadi akibat nasihat berkenaan dan isu atau kontroversi di antara diri plaintif dengan kedua-dua defendan yang memerlukan keputusan daripada mahkamah.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan permohonan plaintif adalah sia-sia dan membazirkan masa mahkamah kerana hanya mengandungi persoalan semata-mata tanpa matlamat yang sahih dan tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

“Permohonan plaintif juga adalah salah di sisi undang-undang dan tidak bermerit,” katanya menerusi afidavit sokongan itu seperti dilaporkan Bernama.

Khairuddin memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique dengan empat persoalan ditimbulkan dalam saman tersebut iaitu:

1.a) Sama ada nasihat seorang Perdana Menteri yang telah kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat mencadangkan kepada YDPA bagi pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan,

1.b) Sama ada nasihat yang diberikan dibuat secara `in fraudem legis’ (mencabul kedaulatan undang-undang) bagi terus kekal sebagai Perdana Menteri,

1.c) Sama ada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan,

1.d) Sama ada penggantungan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos 2021 oleh seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Khairuddin memaklumkan, tindakan beliau memfailkan saman pemula itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya beliau mempersoalkan kesahihan tindakan seorang Perdana Menteri yang didakwa telah hilang sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here