LANGKAH kerajaan memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan tepat pada masanya susulan terdapat kes ibu bapa terpaksa membuat pinjaman ah long untuk membeli peranti.
Kes itu dikesan berlaku di Kedah apabila Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima sembilan aduan daripada ibu bapa mendakwa terpaksa membuat pinjaman bagi membolehkan anak mengikuti pembelajaran dalam talian.
Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata ibu bapa terbabit antara 17 individu membuat laporan terpaksa meminjam daripada ah long, baru-baru ini.
“Kebanyakan ibu bapa berkenaan adalah peniaga kecil dan bekerja sendiri.
“Mereka mengadu tidak mampu menyediakan peranti elektronik untuk keperluan anak berikutan pendapatan terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Justeru, mereka mendakwa tiada pilihan dan terpaksa mengambil risiko membuat pinjaman along semata-mata kerana tidak mahu anak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya seperti dilapor BH.
Mohamad Yusrizal berkata, keadaan itu menunjukkan masih ramai ibu bapa tidak mampu memenuhi keperluan anak mengikuti pembelajaran dalam talian ketika PKP.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi bantuan telefon pintar percuma kepada golongan tidak berkemampuan.
“Saya juga berharap kerajaan dapat mengusahakan suatu langkah seperti membuka kelas komuniti dalam kumpulan kecil bagi memastikan anak-anak itu tidak ketinggalan.
“Pada masa sama, DidikTV KPM yang dilancarkan, hari ini, dapat membantu anak belajar dengan pengawasan ibu bapa, ” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/kpm-tambah-slot-tv-pendidikan-di-ntv7/

