Vaksin tiba 21 Februari ini – PM

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi memaklumkan bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.

Perdana Menteri berkata, Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari dan beliau serta petugas barisan hadapan akan menerima suntikan itu pada hari yang sama.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

“Fasa kedua pula bermula April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 sehingga Febuari 2022.

“Program imunisasi menyeluruh ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan akhirnya menamatkan pandemik Covid-19,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Muhyiddin berkata Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi.

Katanya, dokumen itu bukan sahaja menjadi rujukan kepada pembuat dasar dan pelaksana, malah untuk rujukan masyarakat.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua.

“Pada masa yang sama, saya juga dengan sukacitanya ingin melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana Buku Panduan Program Imunisasi ini boleh dimuat turun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai.

“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19. Pastinya, satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat untuk segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

“Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan, untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here