
Nilam Oshman
KIRA-KIRA 60 peratus pengusaha pusat tuisyen gulung tikar akibat tidak dapat beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 sehingga kini.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi yang menyatakan kerugian ditanggung setiap pengusaha pusat tuisyen agak besar.
Justeru, katanya ramai yang tidak dapat menampung beban tersebut hingga akhirnya membuat keputusan untuk menutup perniagaan.
“Kerugian kami (pengusaha pusat tuisyen) mencecah RM20,000 sebulan (sejak PKP 1.0) dan sampai sekarang tak boleh buka (pusat tuisyen), anggaran kerugian itu boleh dikatakan lebih ratusan ribu ringgit.
“Bayangkanlah hampir setahun pusat tuisyen tak beroperasi, memang tak boleh ‘cover’ dengan sewa bangunan, pekerja, guru dan kos-kos lain,” katanya kepada Malaysiapost.
Sehubungan itu, pengasas pusat tuisyen Puncak Yakin di Ipoh itu berkata, melihat keadaan sekarang, bukan saja pengusaha pusat tuisyen terjejas namun pekerja dan guru tuisyen turut terkena tempias.
Dalam masa sama, Mohd Noor Shafizzal meluahkan keluhan terhadap pembelajaran secara maya yang disifatkan terhad dari segi komunikasi dan masalah seperti rangkaian internet serta kelengkapan komputer.
Malah, menurutnya majoriti pusat tuisyen tidak berjaya melaksanakan cara pembelajaran itu disebabkan faktor-faktor tersebut.
“Contoh macam saya, (pusat tuisyen) di Ipoh, okaylah liputan internet agak baik… kalau kawasan kampung, rangkaian internet kurang jadi terpaksalah dibatalkan kelas.
“Selain itu, tak semua pelajar dapat menyediakan kelengkapan seperti komputer, tablet, speaker, headphone bagi pembelajaran ‘online’,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat tuisyen yang diusahakan bersama isterinya itu masih meneruskan kelas setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad secara atas talian.
“Bagaimanapun, kelas ‘online’ ini tidak mendapat sambutan kerana hanya 20 peratus saja yang masuk, daripada jumlah 500 pelajar yang mendaftar hanya 120 saja sertai kelas,” ujarnya.
Beliau juga menerima rungutan dari ibu bapa mengenai kelas ‘online’ terutama mereka yang berkerja.
“Ia kerana ibu bapa tidak dapat memberi komitmen dan fokus kepada anak-anak khususnya berumur 6 hingga 9 tahun yang memerlukan perhatian bagi menguruskan peranti gajet bagi persediaan kelas.
“Kita buat kelas ‘online’ ini, guru dan pelajar mesti berintekrasi tapi bila ada masalah tak reti nak buka ‘microphone’ atau kamera, agak susahlah dan melambatkan proses pembelajaran, macam manapun anak-anak bawah umur ini perlukan bantuan ibu bapa.
“Jadi perkara itu meletihkan ibu bapa justeru mereka buat keputusan anak-anak tak masuk kelas ‘online’,” katanya.
Oleh itu, katanya, rata-rata ibu bapa mahukan pembelajaran secara bersemuka untuk anak-anak kerana ia lagi mudah untuk difahami dan senang untuk bertanya.
Ditanya bantuan yang diberikan kerajaan, beliau yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam perniagaan itu berkata, tiada bantuan khas untuk pusat tuisyen tetapi pernah menerima bantuan Prihatin RM3,000 ketika PKP 1.0.
“Bantuan sekarang (Permai) tak ada cuma sesiapa yang mendaftar untuk Prihatin kemungkinan akan dapat RM1,000 bulan Mac nanti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan terutama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbangkan pusat tuisyen beroperasi semula secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kini sekolah dah boleh buka tapi pusat tuisyen masih belum boleh beroperasi.
“Sekiranya keadaan Covid-19 ini semakin pulih, kami tidak mendesak dan faham cuma kalau kes makin berkurungan dan situasi stabil mohon pusat tuisyen dibuka lebih awal dari sekolah,” katanya. – Malaysiapost
