PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memahami keresahan ahli Umno berhubung hala tuju parti serta ke mana ia mahu dikemudi.
“Saya faham keresahan ini. Justeru hari ini saya beri jaminan bahawa Umno ada hala tuju yang jelas.
“Hala tuju Umno paling utama ketika ini adalah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kedua memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, semalam beliau telah menjawab tentang status Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan PAS pada 2019 jika ada yang masih tertanya-tanya.
Beliau juga memberi jaminan Umno ada strategi tersendiri dalam menentukan kejayaan hala tuju parti tersebut.
Cuma katanya, ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang Umno sedang dan akan lakukan.
“Strategi Umno tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana.
“Menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman) dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan.
“Insya-Allah barisan pimpinan Umno mempunyai strategi terbaik untuk Umno, para ahli-ahlinya dan rakyat keseluruhan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata beliau hairan apabila golongan anti-Umno yang seolah-olah paling kecewa dan marah kerana Umno kononnya tiada hala tuju.
“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya. – Malaysiapost

