KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong gesaan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berpendapat saranan dibuat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada 9 Februari lalu mengenai penangguhan itu adalah wajar.
Menurutnya, NUTP terbabit secara langsung dalam PdPR dan terpaksa berdepan masalah sama ada daripada murid, ibu bapa, guru dan KPM ketika pelaksanaan PdPR 1.0.
“NUTP sudah membuat kajian dan mereka mempunyai sebab kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0.
“Kajian mereka adalah berdasarkan kepada realiti pengajaran dan pembelajaran rakyat Malaysia semasa tempoh Covid-19, di mana pandangan dan pendapat semua pihak termasuk ibu bapa serta guru sudah diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Bahrain berkata, berita mengenai murid kekurangan peranti bagi PdPR kerana tidak berkemampuan juga adalah petunjuk kepada KPM bahawa PdPR perlu dikemaskini.
“Berita bahawa Ustaz Ebit Lew menerima 40,000 permohonan daripada seluruh Malaysia untuk peranti tab menunjukkan ramai ibu bapa tidak dapat menyediakannya untuk PdPR.
“Golongan ibu bapa B40 tidak mungkin untuk menyediakan peranti kerana keutamaan mereka adalah menyediakan makanan kepada anak-anak,” katanya.
Menurutnya, kemudahan jalur lebar juga satu masalah yang perlu dipertimbangkan dan adalah tanggungjawab kerajaan menyediakannya bagi membolehkan PdPR dilaksanakan secara efektif.
“Mengikut rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pemberhentian pekerja sangat tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia boleh dijadikan petunjuk lain berhubung perkara ini.
“Keupayaan ekonomi sesebuah keluarga dalam menghadapi PdPR 2.0 terutama golongan B40 dan keluarga luar bandar perlu diambil kira bagi mencari penyelesaian secara tuntas sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menzahirkan penghargaan kepada semua guru dan pihak kementerian yang berusaha memberikan pendidikan walaupun dalam situasi negara menghadapi pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pendidikan adalah satu cara untuk mengubah masa depan golongan B40 dan setiap murid berhak mendapatkan akses pendidikan.
“Jika PdPR 1.0 mempunyai masalah kepada golongan rentan, maka MTUC mendesak kerajaan untuk memperbaikinya sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan.
“Sehingga kini KPM tidak memberikan data atau analisa kepada masalah PdPR sebelum ini dan penambahan masa PdPR hanya menguntungkan sebahagian murid tetapi bagi yang mempunyai masalah akan menyebabkan jurang pendidikan yang besar,” katanya. – Malaysiapost

