
“JIKA kerajaan Barisan Nasional (BN) zaman Datuk Seri Najib Razak sering dikiaskan sebagai kapal Bugis, (namun) kita tidak pernah dengar kapal apakah (yang digunakan) kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?, soal tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin.
Katanya, apa pun jenis kapal tetapi mengikut pembacaan ahli politik veteran, Tun Daim Zainuddin, dalam temu ramah dengan sebuah portal berita, ia sedang terumbang-ambing menyebabkan ‘semua orang pening’ dengan prosedur operasi standard (SOP).
“Daim berkata, walaupun Malaysia kini menderita “zero political goodwill” – muhibah politik sifar – namun ia tidak akan menjadi isu besar jika kerajaan berfungsi dengan cekap dan mendahulukan rakyat.
“Masalah ini, kata beliau, diburukkan lagi apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian.
“Rakyat jelata, kata bekas Menteri Kewangan dua kali itu, masih belum nampak walau satu contoh pun usaha membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi Covid-19 ini – selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalan raya,” katanya menerusi Facebook.
A Kadir mendakwa analisis Daim itu berbahaya kepada Muhyiddin kerana beliau masih mempunyai pengaruh yang luas di arena politik dan perniagaan.
“Apatah lagi sesetengah ‘budak’ Muhyiddin itu adalah juga ‘budak-budak Daim’ di belakang tabir.
“Bukan Muhyiddin tidak tahu yang Daim ini dua kali menyelamatkan ekonomi negara ketika dilanda krisis. Pertama pada tahun 1980-an dan sekali lagi ketika Krisis Mata Wang Asia akhir tahun 1990-an.
“Muhyiddin pun tentu tahu yang Daim memainkan peranan ‘menyelamatkan’ Pakatan Harapan (PH) di saat-saat genting pada malam 9 dan pagi 10 Mei 2018. Jadi eloklah Muhyiddin baca, hadam dan faham teguran dan kritikan Daim itu,” katanya.
A Kadir turut meminta Perdana Menteri untuk cuba mengawal dan memberikan tunjuk ajar kepada menteri-menterinya yang kelihatan belum ada arah tujuan walaupun sudah setahun memegang jawatan.
“Kalau Muhyiddin dan konco-konconya tak malu kepada dunia itu hal merekalah.
“Tapi rakyat jelata malu dan negara sedang menderita akibat rampasan kuasa yang mereka lakukan,” ujarnya. -Malaysiapost
