TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli politik.
Perdana Menteri berkata sentimen kaum menjadi cabaran utama dialami hampir semua negara yang berbilang kaum.
Justeru, beliau berkata rakyat perlu mengelak pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum.
“Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sesekali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan yang kita kecapi ini demi matlamat peribadi.
“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara,” katanya ketika berucap melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030, secara maya hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan menetapkan tiga objektif utama dalam Dasar Perpaduan Negara yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian.
Katanya, ia selaras penerimaan rakyat bahawa Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan mempunyai pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa serta budaya.
Berikutan perbezaan dan kepelbagaian itu, katanya, usaha ke arah mewujudkan perpaduan perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan.
“Dasar Perpaduan Negara sudah menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat.
“Tiga objektif utama ditetapkan dalam dasar ini iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab.
“Selain itu, melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” katanya.
Muhyiddin berkata, penggubalan Dasar Perpaduan Negara berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, selain selaras dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar lain yang berkuat kuasa. – Malaysiapost

