KEMENANGAN dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak dua tahun lalu antara bukti Umno masih relevan dan diterima rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Presiden Umno itu berkata demikian bagi menolak dakwaan menyatakan Umno ditolak dan tidak mampu lagi menarik sokongan majoriti rakyat.
Beliau merujuk kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin yang menyifatkan Umno tidak disokong rakyat kerana syarat dengan ‘warlord’ yang beranggapan mereka masih menerajui negara.
Menurut Najib, keputusan PRK Tanjung Piai serta PRK lain sejak dua tahun adalah bukti parti itu masih mendapat sokongan.
“Ditolak rakyat? Jika nak tahu apa maksud sebenar ditolak rakyat, Daim boleh renung kembali keputusan PRK Tanjung Piai serta PRK lain sejak dua tahun lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Di ruangan komen hantarannya itu, beliau berkongsi infografik keputusan PRK Slim, Perak pada Ogos 2020 yang menunjukkan kemenangan calon Umno dengan majoriti besar.
Najib juga meminta Daim membaca komen warganet di ruangan komen laman Facebook bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi melihat sendiri siapa yang ditolak rakyat.
Beliau turut menyindir veteran politik itu mengenai perkembangan CEP yang ditubuhkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Oh, nak tanya juga. Apa sudah terjadi dengan majlis orang-orang tua?,” sindirnya. – Malaysiapost

