Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri berpeluang menyertai sambutan majlis rumah terbuka Tahun baru Cina pada hari ini yang diadakan secara persidangan video dalam talian.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pesanan ringkas pada majlis tersebut menegaskan bahawa pandemik Covid-19 telah memberi cabaran besar yang kepada kerajaan dan rakyat.
Namun, beliau yakin kerja keras pimpinan negara serta kerjasama yang diberikan seluruh lapisan masyarakat ketika ini, Malaysia mampu untuk bangkit dan menjadi lebih gemilang pada masa akan datang.
“Saya percaya kedatangan tahun baharu ini akan membangkitkan iltizam yang lebih jitu daripada rakyat, khususnya masyarakat Tionghua untuk bekerja lebih keras bagi memperoleh kejayaan atau kemenangan dalam apa juga cabaran yang dilalui.
“Saya dan isteri kemudiannya menyertai tetamu lain menggaul ‘yee sang’, makanan tradisi Cina yang sinonim bagi masyarakat negara ini setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Sambutan majlis tersebut dihoskan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Lebih meriah, majlis yang dihadiri semua pimpinan Gerakan melibatkan Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ahli Jawatankuasa Pusat, Wanita dan Pemuda dan turut disertai oleh pimpinan tertinggi parti di dalam Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, STAR dan SAPP.
“Saya ingin berterima kasih kepada Gerakan atas jemputan menghadiri sambutan ini yang saya anggap cukup meriah dan bermakna walaupun disambut secara dalam talian bagi disesuaikan dengan suasana norma baharu ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19,” ujarnya. – Malaysiapost

