Nurul Huda Abhar
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata sekatan rentas negeri dan daerah yang dilaksanakan ketika ini, bukan untuk menyekat kebebasan rakyat menyambut Tahun Baharu Cina.
Sebaliknya, Perdana Menteru berkata ia dilakukan demi kebaikan bersama untuk melindungi nyawa terutama ahli keluarga yang disayangi.
Muhyiddin berkata, kerajaan meletakkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan masyarakat Cina dapat menyambut perayaan dengan selamat.
Katanya, ia termasuk sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai yang tidak dapat pulang ke kampung atau berjumpa dengan keluarga masing-masing.
“Di sebalik kekangan ini saya percaya sambutan Tahun Baharu Cina masih boleh disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan.
“Tradisi makan besar yang menjadi amalan masyarakat Cina pada malam sebelum perayaan masih dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama ahli keluarga.
“Kerajaan juga telah melonggarkan syarat iaitu membenarkan ‘reunion dinner’ pada malam sebelum perayaan iaitu tidak melebihi 15 orang. Aktiviti keagamaan di tempat ibadat masyarakat Cina juga dibenarkan mengikut SOP ditetapkan,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu terus mematuhi SOP, kekalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa membasuh tangan serta melindungi ahli keluarga jika ada terdiri daripada golongan yang berisiko tinggi.
Beliau berharap bagi mereka yang tinggal berjauhan atau pelajar yang terpaksa berada di kampus, boleh memanfaatkan teknologi dengan membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan terhadap ahli keluarga dan sahabat yang jauh di mata.
“Saya harap sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa kebahagian dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia, jadikan perayaan ini sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum dan agama serta titik pengukuhan sikap hormat-menghormati sesama kita,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/semangat-sambut-tahun-baru-cina-meskipun-pkp/

