AKIBAT bermain bola dan berkumpul di sebuah taman pemainan awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam lelaki warga Bangladesh didenda masing-masing RM200 atau penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah taman di Damansara Kim pada jam 8.13 malam, 29 Januari lalu, lapor Bernama.
Mereka ialah Tusar Ahamad, 30; Md Azad Ali, 26; Md Juwel Islam, 24; Mohammad Sumon, 31; Md Alla Uddin, 27; dan Md Sharif Uddin, 23, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.
Mereka didakwa bersama-sama gagal mematuhi arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan.
Iaitu bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit dengan bermain bola dan berkumpul di taman permainan awam yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.
Pertuduhan terhadap semua tertuduh, yang direman sejak 29 Januari lalu dikemukakan mengikut Peraturan 16(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala semua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertama mereka. – Malaysiapost

