Gerakan kini parti komponen PN

0
2

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menjadi parti terbaharu menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen hari ini.

Surat pengesahan penyertaan itu disampaikan Pengerusi PN yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Muhyiddin yang berkongsi mengenai perkara itu di laman Facebooknya berkata, kemasukan Gerakan ke dalam PN akan mengukuhkan lagi gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia.

“Hari ini saya menyerahkan surat penerimaan kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN kepada Datuk Dr Dominic Lau.

“Kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN telah diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan Gerakan dalam PN,” katanya sambil menambah PN akan terus komited untuk membina negara Malaysia yang aman, maju, makmur dan stabil.

Dominic turut berkongsi mengenai penyertaan Gerakan dalam PN dan berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan.

“Secara rasminya, Gerakan kini telah menjadi sebahagian daripada gabungan PN, dan saya mewakili parti ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh barisan pimpinan PN atas kepercayaan dan keyakinan kepada kami.

“Adalah menjadi suatu tanggungjawab besar untuk Gerakan dalam menunaikan amanah yang diberikan ini dan saya berjanji dengan seluruh rakyat Malaysia bahawa Gerakan akan terus berkhidmat demi menjaga kepentingan rakyat.

“Pada masa sama, Gerakan akan sentiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan memastikan bahawa PN akan menjadi sebuah perikatan politik baharu yang juga merupakan pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here