Bicara Shahrir gagal isytihar RM1 juta kepada LHDN mula 1 April

0
2

PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytihar RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bermula 1 April ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Afif Ali berkata perbicaraan kes itu yang akan mendengar keterangan 19 saksi pendakwaan dijadual berlangsung selama 20 hari di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Bicara kes itu dijadualkan pada 1, 2, 22, 23 April; 29, 30 Jun; 12,13 Ogos; 1,17 September; 4, 5, 18 dan 25 Oktober; 5, 11,12 November dan 6, 7, 8 Disember.

“Pihak pendakwaan menjangka akan memanggil 19 saksi untuk memberi keterangan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Pada prosiding hari ini juga, mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan kes tersebut.

Sementara itu, peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan pada 1 Mac juga akan ada sebutan di Mahkamah Tinggi bagi mengetahui status kes itu untuk dipindahkan ke mahkamah berkenaan.

Shahrir turut diwakili Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala Mohd Afif bersama-sama TPR Natrah Fareha Rahmat.

Shahrir, 72, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November, 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here