Padah jual Android Box

0
1

PADAH menimpa sebuah syarikat menjual peralatan teknologi maklumat (IT) di Shah Alam apabila menjadi syarikat pertama didakwa di mahkamah atas kesalahan mempromosikan Android Box bagi mendapatkan siaran televisyen secara haram.

Pengarah syarikat IT berkenaan ketika dihadapkan di Mahkamah Seksyen Jenayah, Shah Alam, Isnin lalu mengaku salah di atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam perjalanan untuk menjual
Adroid Box yang mengandungi saluran karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran pada jam 4.55 petang 2 September tahun lalu.

Oleh itu, syarikat yang beralamat di I-City, Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu didapati melanggar Seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual teknologi atau alatan untuk memintas perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan syarikat berkenaan boleh didenda tidak kurang daripada RMM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Rofiah turut menetapkan keputusan hukuman pada 1 Mac ini.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal atau penjual yang menyalahgunakan peranti Android Box dengan tujuan memintas atau mengakses kandungan yang dilindungi karya hak ciptanya.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan peranti yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan cetak rompak.

“Pengguna juga disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317.

“Laporan berkenaan juga boleh dibuat di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri di pejabat KPDNHEP berdekatan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here