TIGA kematian dilaporkan akibat demam denggi bagi tempoh 1 Januari hingga hingga 6 Februari tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 16 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah keseluruhan kes denggi dilaporkan sepanjang lima minggu lalu pula adalah sebanyak 3,329 kes berbanding 15,362 kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 78.3 peratus.
“Satu kematian dilaporkan pada minggu kelima tahun ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat denggi setakat 6 Februari ini adalah tiga kes berbanding 16 kematian untuk tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah kes denggi bagi minggu kelima tahun ini pula adalah sebanyak 607 kes iaitu peningkatan 3.6 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sepanjang lima minggu tahun ini, Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi setakat ini dengan 1,834 kes, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kes kedua tertinggi dengan 359 kes bagi tempoh sama.
Katanya, kes kematian denggi dicatatkan adalah masing-masing satu di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
“Bagi kes Chikungunya pula, sebanyak 97 kes dilaporkan setakat minggu kelima tahun ini iaitu sehingga 6 Februari lalu.
“Pemantauan yang dibuat Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga sudah membuat 123 ujian darah dan satu ujian urin dikalangan individu yang mempunyai simptom wabak Zika, namun setakat ini tiada kes positif dikesan setakat Isnin lalu,” katanya.
Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang demam denggi terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini.
“Pastikan tiada air yang bertakung, sama ada dalam pasu bunga, saluran air pada atap rumah dan sebagainya.
“Selamat menyambut Tahun Baharu Cina untuk seluruh rakyat Malaysia, tiada aedes, tiada denggi, Chikungunya dan Zika,” katanya. -Malaysiapost

