Pemuda PAS anggap pihak hina PM di media sosial sebagai pelampau

0
2

PEMUDA PAS membidas pihak dan individu yang menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di media sosial dan menyifatkan tindakan itu sebagai pentingkan diri dan pelampau.

Ketuanya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, tidak bersetuju atau menolak mana-mana individu pemimpin adalah hak demokrasi setiap rakyat, termasuk dalam menyuarakan kritikan atau percanggahan.

Namun katanya, platform dan kaedahnya perlu betul serta dalam had yang wajar tanpa sikap keterlaluan melampau dan sebarang sentimen mesti dibezakan kedudukannya secara berhemah.

“Menyerang Perdana Menteri dengan pelbagai hamburan kata-kata jelik di media sosial rasmi pemimpin atau institusi tertinggi negara dilihat satu tindakan disengajakan. Kebencian dengan merencahkan keburukan serta memarakkan segala ketidakpuasan hati ternyata diapi-apikan secara berlebihan.

“Para pembenci seperti ini hanyalah mereka-mereka yang mementingkan diri dan mempunyai motif, sebab itu tidak tahu meletakkan kritikan ditempatnya. Sedangkan kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang menunjukkan salah satu penghormatan dan ciri sepatutnya ada pada rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menegaskan Perdana Menteri telah bertindak berasaskan undang-undang dan segala keputusan adalah secara kolektif yang bukannya peribadi apatah lagi untuk dituduh diktator.

Malah, katanya, ia mendapat pengesahan atau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaku payung dan pemerintah tertinggi serta kedaulatan negara.

“Perbuatan memburukkan Perdana Menteri selaku pemimpin utama pentadbiran negara, serta membangkitkan unsur menentang perkenan diterimanya bermakna merendahkan kedaulatan negara. Apatah lagi hal tersebut dilakukan terbuka dan diheret hingga ke pihak luar yang boleh menjejaskan nama negara.

“Dalam situasi yang sedang melingkari seluruh negara dan dunia akibat Covid-19 di mana negara telah diisytiharkan di bawah Proklamasi Darurat, tidak harus setiap perkara mahu dilihat sempurna. Keutamaan kita bersama adalah memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pihak disantuni dengan sebaiknya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here