Kerajaan kena selalu pantau syarikat kurier – MTUC

0
1

KEMENTERIAN Sumber Manusia disaran untuk memantau dan membuat pemeriksaan berkala terhadap syarikat penghantaran kurier bagi mengelakkan insiden ketidak puasan hati kakitangan terjadi lagi pada masa depan.

Saranan itu di disuarakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) susulan insiden pekerja J&T Express (J&T) membaling barang pelanggan tular di media sosial dikatakan disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata isu seperti tiada kontrak perkhidmatan, tiada kenaikan gaji tahunan dan pembayaran gaji lewat perlu diberi perhatian serta dikaji oleh kementerian berkenaan.

“Bagi membantu pekerja dalam sektor ini mendapatkan faedah lebih baik, MTUC juga mencadangkan dan menasihat pekerja supaya menganggotai atau menubuhkan kesatuan sekerja.

“Majoriti pekerja dalam sektor ini tidak terbabit dalam kesatuan pekerja. MTUC sedia membantu dan mereka boleh hubungi MTUC bagi tujuan penubuhan kesatuan sekerja.

“Ia sebagai satu jaminan bagi pekerja mendapatkan suasana kerja lebih baik di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun tiada pekerja J&T tampil mengadu kepada MTUC, Kamarul Baharin berkata, pihaknya melihat insiden itu sebagai ‘api dalam sekam’ terhadap beberapa sektor perkhidmatan kurier, pembersihan dan penghantaran makanan susulan sambutan serta permintaan tinggi dalam suasana negara dilanda penularan Covid-19.

“Pekerja dalam sektor ini adalah golongan B40 dan mudah terkesan apabila sesuatu perkara membabitkan implikasi kewangan.

“Biasanya syarikat dalam industri ini memberi gaji minima tanpa faedah lain. Pekerja terpaksa bekerja lebih masa bagi mendapatkan upah tinggi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Kamarul Baharin MTUC sentiasa berhubung dengan kementerian terbabit menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk merungkai di sebalik kejadian yang berlaku.

“JTKSM memaklumkan siasatan sudah dilakukan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sebelum ini, J&T dan tujuh pekerjanya dilaporkan memohon maaf kepada pelanggan di seluruh negara berhubung kejadian pekerja mogok dan membaling barang yang tular di media sosial.

Rakaman video berdurasi 15 saat di sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here