LEGENDA bola sepak Sabah, Scott Ollerenshaw kembali ke pasukan Liga Super itu sebagai Pengarah Teknikal.
Sabah FC menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan bekas pemain import dari Australia itu antara inisiatif yang dilaksana untuk menzahirkan kesungguhan pasukan dalam meningkatkan mutu dan kualiti bola sepak di Sabah.
“Pelantikan ini adalah dengan tujuan menjadi medium pengantara buat para pemain ‘import’ dengan pasukan Sabah FC sendiri.
“Dalam masa sama, Scott juga turut bertindak sebagai pencari pemain yang berkualiti untuk diserapkan ke dalam pasukan yang gah dengan gelaran Sang Badak ini,” kata kenyataan itu.
Sabah FC juga menyatakan peranan sebagai Pengarah Teknikal ini juga secara langsung menjadikan Scott Ollerenshaw sebagai ketua dalam program pembangunan belia untuk misi mencungkil bakat baru dan membentuk barisan pelapis Sabah FC untuk masa akan datang.
Scott Ollerenshaw bukanlah nama asing kepada peminat bola sepak negeri berkenaan apabila menjaringkan 110 gol ketika mewakili Sabah dari 1994-1997. -Malaysiapost

