Bekas anggota polis wanita terawal meninggal dunia

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga bekas anggota wanita terawal, Sarjan Mejar (Bersara) Salamah Abd Majid yang menghembuskan nafas terakhir, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), Allahyarhamah meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada usia 89 tahun.

Menurut hantaran itu, Salamah adalah antara individu yang melakar sejarah menjadi salah seorang daripada 54 anggota wanita pertama yang menyertai PDRM 65 tahun lalu.

”Seluruh warga PDRM melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga bekas anggota PDRM wanita terawal, Allahyarhamah Sarjan Mejar (Bersara) RF148 Hajah Salamah Haji Abd Majid yang telah kembali ke rahmatullah akibat sakit tua di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor semalam.

“Allahyarhamah merupakan antara individu yang pernah mencatat sejarah sebagai salah seorang daripada 54 anggota wanita pertama diterima menyertai Pasukan, 65 tahun lalu.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Pada masa sama, Polis Johor menggambarkan Allahyarhamah mempunyai komitmen tinggi dalam menjalankan tugas dan telah diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Balai Sentral.

Selain itu, Salamah merupakan Ketua Polis Balai Sentral wanita yang pertama dalam sejarah PDRM Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here