SOP Tahun Baharu Cina: Najib bidas PH

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan perubahan prosedur operasi stadard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) tidak patut menggunakan isu SOP bagi Tahun Baharu Cina untuk memainkan politik berbaur perkauman.

Katanya, halaman Facebook pro PKR mengambil kesempatan dengan perubahan dilakukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menyerang PAS.

“Dalam isu ini, ramai yang tersalah persepsi bahawa kelonggaran telah diberi untuk kaum Cina ziarah-menziarah untuk Tahun Baharu Cina dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan ) ini.

“Tidak. Ini untuk adat makan malam bersama keluarga paling rapat sahaja sehingga 15 orang dan itupun terhad kepada mereka yang duduk dalam radius 10 kilometer,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan berkata rakan-rakan dan mereka di luar keluarga tidak dijemput dalam adat berkenaan.

“Rentas daerah dan rentas negeri juga tetap dilarang bermakna tiada siapa yang akan dibenarkan untuk balik kampung.

“Tidak sama dengan perayaan-perayaan lain, aktiviti menziarah bagi Tahun Baru Cina tahun ini tetap dilarangkan,” katanya.

Najib berkata ramai yang terlupa ketika pelaksanaan PKP yang pertama larangan dan SOP sama dikenakan bagi ziarah Hari Raya.

Beliau turut berkongsi pautan berita mengenai larangan dan SOP berkenaan yang bukan sahaja membabitkan Hari Raya, malah Deepavali dan Krismas.

“Boleh dikatakan SOP bagi Tahun Baharu Cina tahun ini lebih ketat berbanding perayaan-perayaan lain sebab kali ini, perayaan adalah dalam tempoh PKP 2.0 manakala yang lain ialah semasa PKPB.

“Tapi kita sedia maklum PKP 2.0 kali ini tidak macam PKP. Malah ada yang berpendapat PKP 2.0 lebih longgar berbanding PKPB.

“Misalnya kelonggaran yang diberi dalam tempoh minggu yang lepas sahaja termasuk car wash dibenar buka; pasar malam dibenarkan beroperasi; gunting rambut dibenarkan; nikah dibenarkan dan bilangan jemaah solat Jumaat, fardu di Wilayah Persekutuan diperluaskan sehingga separuh saiz masjid.

“Sebab itu, geng PH tidak patut menggunakan isu SOP bagi Tahun Baharu Cina untuk memainkan politik berbaur perkauman,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here