772,900 penduduk Malaysia kini menganggur

0
1

PENGANGGURAN di Malaysia meningkat pada kadar 4.8 peratus kepada 772,900 orang pada Disember 2020, menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus atau 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatat penurunan kecil pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut DOSM, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatat trend yang semakin meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial; maklumat dan komunikasi serta pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan, penyimpanan; dan kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun akibat kesan pandemik.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020.

Sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima, manakala sektor pembinaan turut mencatat penurunan bulan ke bulan.

Dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 peratus (+23,500 orang) kepada 11.81 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

Kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatat pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.4 juta orang pada Disember 2020.

Kumpulan itu terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; ‘freelancers’; serta pekebun kecil.

Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146,200 orang berbanding 142,000 pada November 2020 disebabkan sekatan pergerakan sepanjang bulan itu serta cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

Kumpulan itu, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

Keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi, memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

Oleh itu, pasaran buruh pada bulan itu kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27,8000 orang kepada 15.99 juta orang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here