i-Sinar: ‘Jangan sulitkan lagi urusan rakyat’ – Pemuda Umno

0
2

PEMUDA Umno sekali lagi mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempermudahkan urusan rakyat mengeluarkan simpanan mereka menerusi i-Sinar.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sejak dua hari lalu ramai yang menzahirkan terima kasih kepada Pemuda Umno dan dirinya selepas menerima perkhabaran positif hasil semakan pada status permohonan berkenaan.

Namun, katanya, KWSP tengah malam tadi mengumumkan bahawa berlaku kesilapan teknikal berhubung paparan status permohonan berkenaan.

“Ramai yang teks ucap terima kasih kepada Pemuda Umno dan mesej peribadi saya sejak dua hari lepas apabila menerima paparan jawapan positif KWSP mengenai kelulusan permohonan i-Sinar masing-masing.

“Namun awal pagi ini, KWSP membuat pengumuman penting agar semua dapat menyemak kembali status permohonan i-Sinar masing-masing pagi ini. Moga-moga dapat maklum balas yang sama positif dan tidak menghampakan,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Asyraf berkata, rakyat kini benar-benar memerlukan wang berkenaan untuk kelangsungan hidup dan berharap urusan itu tidak dipersulitkan lagi.

“Buat pihak KWSP, permudahkanlah dan jangan persulitkan rakyat yang ketika ini benar-benar amat memerlukan pengeluaran wang simpanan mereka untuk kelangsungan hidup yang begitu mencabar ketika musim pandemik kini,” katanya.

Terdahulu, KWSP memaklumkan pihaknya menghadapi masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.

Kenyataan tersebut menyusul beberapa jam selepas kebanyakan permohonan i-Sinar kategori 2 dilaporkan telah lulus selepas membuat semakan bermula semalam.

KWSP dalam kenyataan di laman Instagram dan Facebook tengah malam tadi memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here