SERAMAI 17 individu dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan majlis hari lahir di sebuah rumah di kawasan Makam Mahsuri, Langkawi, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, sepasukan polis telah melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) PKP menyerbu rumah itu pada jam 1 pagi selepas mendapati banyak kenderaan di kawasan berkenaan.
Katanya, polis mendapati 13 lelaki dan empat wanita dewasa berkumpul dalam rumah itu sambil mengadakan sambutan hari lahir.
“Seramai 17 individu dewasa berusia di antara 18 dan 32 tahun itu adalah penduduk tempatan dan menetap di sekitar Langkawi.
“Kesemuanya dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan.
Rabu lalu, polis Langkawi turut mengeluarkan kompaun kepada pasangan pengantin baharu dan 17 rakan mereka yang berpakaian sedondon dan berkumpul bagi sesi bergambar di Taman Nilam di sini. -Malaysiapost

