Ibu sebak bermanja dengan anak melalui celahan pintu.

0
2

SEORANG ibu terpaksa menggagahkan diri untuk hanya bermesra dengan dua anaknya menerusi celah pintu bilik ekoran terpaksa menjalani tempoh kuarantin di rumah.

Menerusi perkongsian di laman Tiktok, pemilik bernama Amy Udin pasrah menerima takdir dia dijangkiti Covid-19 meskipun sentiasa memastikan dirinya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Malah, Amy tidak menyangka virus halimunan itu memisahkan sementara kasih sayang antara dia dan dua anaknya kerana sentiasa berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Video dipaparkan Amy nyata menyentuh jiwa warganet yang sayu melihat dia terpaksa bermanja di sebalik pintu bilik tanpa melihat wajah anak-anaknya.

Lebih meruntunkan jiwa, meskipun berinteraksi melalui celah pintu, ternyata tindakan itu mampu mententeramkan kedua-dua anaknya yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa tentang bahaya Covid-19.

Mujurlah, menurut Amy, suaminya tabah menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak ketika dia terpaksa menjalani kuarantin kendiri di dalam bilik.

Amy berkata, anak bongsunya sentiasa menangis dan meragam kerana ingin memerap dengannya namun kebijaksanaan suami mengalih perhatian dapat mengubati rindu si bongsu itu buat sementara waktu.

“Walaupun sebak dengan keadaan ini, tapi ini kebaikan untuk semua, harap doakan saya cepat sembuh dan dapat kembali ke pangkuan suami dan anak anak,” catat Amy.

Amy juga sempat berpesan kepada warganet supaya kisahnya menjadi tauladan kerana dalam dia sentiasa berjaga terhadap virus Covid-19, dirinya berjaya juga ditembusi virus tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here