Nurul Huda Abhar
PELAKON Aeril Zafrel membuat pengakuan bahawa dirinya dan keluarga pernah dihantar sihir oleh ‘seseorang’ baru-baru ini.
Aeril yang baharu sahaja pulih dari Covid-19, membuat hantaran di laman Instagram dan berkongsi berita mengenai peristiwa itu.
“Setiap orang ada ujian, cubaan dan dugaan masing-masing. Hanya dengan pertolongan Allah sahaja segalanya dipermudahkan jalan keluarnya dan mampu dihadapi dengan tenang.
“Begitu juga dengan saya, Alhamdulillah. Allah hantarkan bantuannya menerusi orang yang arif – saya dan keluarga terselamat daripada permainan ilmu sihir ‘seseorang’ baru-baru ini,” tulisnya hari ini.
Aeril yang juga suami kepada pelakon Wawa Zainal juga memohon maaf jika sebelum ini pernah membuat kesalahan atau tanpa sengaja ada membuat pihak berkecil hati.
Pelakon itu juga berkata telah memaafkan pihak yang melakukan perbuatan itu, dan berserah kepada Allah selebihnya.
“Barangkali ada salah dan khilaf yang saya tak sedari, saya dengan rendah hati memohon maaf pada pihak yang terasa hingga tergamak melakukan percubaan sihir itu.
“Sejujurnya saya memaafkan perbuatan aniaya ‘pihak itu’ kepada saya. Selebihnya saya serahkan pada ALLAH Rafiqul A’la. Semoga bertaubat dengan sesungguhnya,” katanya.
Malah, Aeril memberi pesanan agar individu tersebut berdepan dengannya jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati dan dia bersedia untuk membetulkan kesalahan.
“Sekiranya masih ada lagi rasa tidak puas hati atau ingin melampiaskan amarah atau menegur kesilapan saya, marilah bertemu secara nyata dan Insya-Allah saya akan berlapang dada untuk mendengar dan membetulkan apa jua kesalahan saya jika ada.
“Saya mohon ampun maaf pada semua. Saya serahkan diri saya, isteri dan anak-anak kepada sebaik-baik tempat berlindung dan perlindungan Yang Maha Menyelamatkan,” ujarnya.
Dia juga memuat naik gambar memaparkan objek berbentuk seperti ‘patung manusia’ dengan kepada berlubang di tengah, dan diletakkan di atas kain berwarna kuning. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/aeril-zafrel-lega-dapat-peluk-keluarga/

