Bayi ditinggalkan dalam beg galas di tokong

0
3

BAYI perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam beg galas di sebuah tokong Cina, di tepi sawah Kampung Hilir, Kubang Rotan, Alor Setar, petang semalam. 

Bayi berkenaan ditemui seorang penduduk yang sedang berjoging sendirian di tepi sawah berkenaan, kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata penduduk itu kemudian menghubungi polis mengenai penemuan itu. 

“Polis telah merakamkan percakapan pengadu termasuk saksi kejadian.

“Bayi tersebut dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan penduduk yang menemui bayi berkenaan pada awalnya terdengar bunyi seperti suara kucing di tokong berkenaan. 

Mohd Hanif Zaini, 29, berkata ketika menemuinya, bayi perempuan itu dipercayai baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada badan selain tali pusat belum dipotong.

“Saya dengar sayup seperti suara anak kucing, mulanya saya ingat orang nak usik sebab bunyi tu sekejap ada, sekejap hilang.

“Namun tidak lama kemudian, bunyi tangisan itu kedengaran sekali lagi sebelum saya ternampak beg galas ungu atas bangku di tokong berkenaan dan mendapati ada bayi perempuan dibalut kain batik,” katanya. 

Dia kemudian menghubungi isteri supaya membawa kereta sebelum membawa bayi itu pulang ke rumah.

“Tak sangka ada orang tergamak buat macam tu, sampai mengalir air mata saya melihat keadaan bayi itu,” katanya. 

Mohd Hanif berkata, bayi itu kemudian dibawa ke hospital oleh pihak polis dengan ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here