BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpadangan ramalan Tun Dr Mahatir Mohamad yang menyifatkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu sebagai rapuh dan akan terurai selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai tidak tepat.
Beliau berkata ia berikutan PAS dan Umno berjaya membentuk persefahaman jitu, sementara Umno dan Bersatu masih berusaha mewujudkan keserasian.
“Ini usaha yang dibuat ketika saya jadi Setiausaha Agung BN dan Umno lagi, usaha-usaha membentuk gabungan yang kuat dimulakan dengan Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS. Kemudian kita setuju jemput Bersatu supaya gabungan lebih kuat.
“Ramalan Tun gabungan itu rapuh tidak berapa tepat kerana antara Umno dan PAS boleh dikatakan terbentuk persefahaman yang agak jitu, tinggal ada sedikit komplikasi antara Umno dan Bersatu.
“Dalam Umno pun masih meninjau-ninjau pendapat yang pelbagai. Saya yakin Umno dapat uruskan perbezaan pendapat dan yang penting Umno perlu ada satu formula dan strategi untuk menang PRU, saya yakin Umno dapat selesaikan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, isu kerapuhan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu tidak timbul kerana ia belum diikat secara rasmi.
“Yang mengikat adalah kerajaan PN, jadi saya menjangka pucuk pimpinan Umno akan teruskan perbincangan dan perundingan sehingga dapat satu formula. Yang penting pada akhirnya Bersatu, Umno dan PAS perlu memenangi PRU-15.
“Saya fikir kita boleh bersabar dan beri peluang kepada pimpinan parti,” katanya sambil menambah beliau difahamkan pengurusan Umno sudah memberi lampu hijau agar rundingan dengan Bersatu mengenai agihan kerusi diteruskan.
“Setakat yang saya tahu sebelum ini tidak pernah dibuat lagi agihan kerusi antara Umno dan Bersatu. Setakat saya pegang jawatan sebelum ini belum ada sebarang perbincangan khusus antara Umno dan Bersatu,” katanya.- Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/gagasan-kerajaan-melayu-islam-dibawa-pn-hanya-retorik-tun-m/

