BUKAN di Malaysia atau Taiwan ya, tetapi ini berlaku di Thailand. Seorang penghantar makanan Food Panda mendayung sampan untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.
Berdasarkan laporan Thaiger News, penghantar makanan lengkap pakaian seragam dan bertopi keledar itu terpaksa mendayung sampan kerana pelanggannya sedang memancing di Sungai Bang Pakong dalam wilayah Chachoengsao, tengah Thailand.
Gambar penghantar makanan itu dimuat naik di laman Facebook bersama keterangan: “Foodpanda telah melancarkan perkhidmatan penghantaran melalui jalan air.”
Rupa-rupanya, penghantar makanan itu tidak tahu dia perlu menggunakan sampan ketika setuju menerima pesanan pelanggan.

Ini kerana, lokasi yang diberi pelanggannya hanya mengatakan dia berada di sungai itu.
Apabila tiba di lokasi yang diberikan, penghantar makanan itu menghubungi pelanggan yang juga kenalannya sebelum diberitahu dia sedang memancing.
Penghantar makanan itu terpaksa meminjam sebuah sampan bermotor yang berlabuh di jeti sungai untuk ke lokasi pelanggan.
Media Thailand melaporkan, pemandu itu tidak menerima bayaran tambahan untuk penghantaran khas yang dilakukannya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/puteri-umno-cari-rider-food-panda-bonceng-anak-kecil/

