AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa Umno segera melaksanakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan parti agar dapat bersiap-sedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Saya harap pemilihan itu disegerakan sebab kita tidak boleh berada dalam keadaan ketidaktentuan, kalau tiba-tiba datang pilihan raya kita tidak bersedia.
“Jadi cara terbaik kita kena selesaikan cepat, oleh kerana tahun ini tahun pemilihan, pilihan raya juga boleh jadi tahun ini, boleh jadi tahun depan, kita mana tahu.
“Oleh kerana kita tak tahu tarikh pilihan raya, maka elok disegerakan urusan pemilihan parti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Kota Bharu hari ini, lapor Berita Harian.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu ditanya sama ada akan mengambil bahagian dalam pemilihan parti akan datang.
Annuar berkata beliau tidak boleh memberi jawapan sama ada akan bertanding atau sebaliknya kerana tarikh pemilihan belum ditetapkan.
“Cuma kita ucap terima kasih kepada pucuk pimpinan parti, khususnya presiden dalam wawancara sebelum ini bersetuju untuk menunaikan apa yang terdapat dalam perlembagaan parti iaitu pada tahun ini akan menyerahkan semula kepada ahli-ahli untuk pemilihan.
“Saya fikir itu harus dialu-alukan dan saya fikir tidak timbul lagi soal polemik letak jawatan dan sebagainya. Saya fikir kita kena semarakkan semula semangat parti dan hormati perlembagaan parti dan amalan demokrasi,” katanya.
Perhimpunan Agung Umno 2020 dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu namun ditangguhkan susulan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/tiada-muafakat-umno-dan-pas-mn-tiada-makna-annuar/

