PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan rakyat Malaysia menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengelak penyakit kanser dikesan lewat.
Menerusi hantaran di Facebook, Muhyiddin berkata, beliau selaku bekas pesakit kanser, memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit ini.
“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.
“Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini,” katanya sempena Hari Kanser Sedunia, hari ini.
Menurutnya, selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat, dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh.
“Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, saya menyarankan orang ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.
“Buatlah pemeriksaan awal dan yang paling penting, segeralah menjalani rawatan sekiranya anda disahkan menghidap kanser. Jangan takut dan bertangguh.
“Apa jua penyakit, insya-Allah boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul. Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Beliau turut memberi kata semangat kepada pesakit-pesakit kanser agar terus berjuang dan jangan berputus asa melawan penyakit itu
“Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat – anda bukan menghadapinya seorang diri.
“Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat.
“Selamat Hari Kanser Sedunia! #SayaAkandanSayaBoleh #IAmAndIWill,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangan apabila kes kanser tahap tiga dan empat yang dikesan lewat merekodkan peningkatan.
Katanya, mengikut data keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat pada tahun 2012 hingga 2016 adalah 63.7 peratus.
Menurutnya, satu pertiga kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta alkohol. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/peratusan-kanser-lewat-dikesan-meningkat/

