Pelajar perakaunan UUM raih markah ketiga tertinggi di dunia

0
1

SEORANG pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) berjaya menjulang nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila apabila disenarai pada kedudukan ketiga dunia selepas memperolehi markah tertinggi di Malaysia bagi kertas Advanced Performance Management (APM) bagi Disember 2020.

Looi Pui Mun, 23, pada tahun lalu turut memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan ketujuh di dunia dalam peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR) bagi bulan Mac, selain berada di tempat ketiga di Malaysia untuk kertas Strategic Business Leader (SBL) bagi bulan September.

Pelajar Pusat Pengajian Perakaunan, Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu berkata, beliau gembira dan teruja selepas tersenarai di kedudukan ketiga dunia bagi kertas APM yang berteraskan pengurusan strategik untuk mencapai objektif organisasi.

“Kertas APM ini mencerminkan pengurusan perakaunan sebenar. Justeru apabila menduduki peperiksaan bagi kertas ini, saya perlu menilai sistem pengurusan prestasi sesebuah organisasi, sama ada ia sesuai dalam konteks organisasi berkenaan.

“Jika dibandingkan dengan kertas SBR yang lebih berteraskan pelaporan kewangan korporat bersifat luaran, APM adalah peperiksaan yang menguji daya analisis calon untuk menyelesaikan masalah dalaman organisasi,” katanya.

Pui Mun berkata, dia bakal menduduki satu lagi peperiksaan menjelang Jun nanti untuk melengkapkan program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Sementara itu, berkongsi rahsia kejayaan memperolehi markah tertinggi dalam semua peperiksaan itu, Pui Mun berkata, dia akan mengulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu.

Katanya, kecekalan dan iltizam yang tinggi sangat penting dalam mengimbangi peperiksaan ACCA dan ijazah di UUM .

“Saya akan sentiasa menetapkan matlamat pembelajaran ACCA berdasarkan garis masa sehingga peperiksaan. Ini bagi memastikan saya konsisten dalam persediaan dan tidak melengahkan waktu ulangkaji sehingga saat akhir yang semestinya akan lebih memberi tekanan.

“Saya berharap pencapaian ini akan memberi manfaat dan inspirasi kepada orang lain untuk terus mencapai cita-cita dan matlamat diri, malah membanggakan universiti dan TISSA-UUM,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata pencapaian Pui Mun, sekali gus membuktikan bahawa program perakaunan UUM bersama ACCA itu semakin menjadi pilihan utama pelajar dalam dan luar negara.

Katanya, pencapaian itu juga secara tidak langsung membuktikan program perakaunan UUM setanding dengan universiti terkemuka dunia dan selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia yang terbaik. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/spm-svm-stam-dan-stpm-2020-patut-dibatalkan-ikatan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here